Cukai vape sukar dikuat kuasa tanpa akta baharu - Utusan Malaysia

Cukai vape sukar dikuat kuasa tanpa akta baharu

kluster
NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan cukai ke atas rokok elektronik atau vape sukar dilakukan selagi Akta Kawalan Tembakau tidak dikuatkuasakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, akta terbabit sedang dalam semakan pihak Jabatan Peguam Negara untuk membolehkan ia dikuatkuasakan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, tanpa akta itu, cecair rokok elektronik yang mempunyai nikotin sukar dikawal dan pengenaan cukai juga sukar dilaksanakan.

“Apa yang penting adalah untuk kita (Kementerian Kesihatan) melihat akta ini. Buat masa ini, kawalan hanya pada nikotin dan bagaimana nak lakukan percukaian, ia akan diperhalusi.

“Kementerian perlu melakukan penelitian lanjut sebelum kita melaksanakan iaitu melihat kepada sebarang pertindihan atau bertentangan dengan sebarang akta di bawah Akta Racun 1952,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, seperti yang sedia maklum, cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin adalah di bawah kawalan Akta Racun 1952.

“Bagi memastikan cukai dapat dilakukan, akta baharu bagi kawalan tembakau perlu disiapkan segera dan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata cecair rokok elektronik juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per milimeter. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN