Cecair warna merah di kubur bukan darah - Hasanuddin - Utusan Malaysia

Cecair warna merah di kubur bukan darah – Hasanuddin

HASANUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cecair merah yang ditemui pada sebuah kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan di Derga di sini pada September lalu disahkan bukan darah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil ujian kimia ke atas sampel cecair tersebut mendapati ia merupakan campuran cat berwarna merah dan minyak.

“Hasil daripada semakan saintifik ke atas sampel cecair itu oleh pihak polis mendapati ia sebenarnya bukan darah. 

“Ia adalah campuran cecair cat dan minyak yang mana ia seolah-olah seperti darah tulen tetapi sebenarnya tidak ada langsung darah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Majlis diadakan sempena persaraan wajib Datuk Muhammad Azlee Abdullah pada 8 November ini dengan jawatan itu kini dipangku oleh Senior Asisten Komisioner Zakaria Haron.

Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menular dan mensensasikan perkara tersebut di media sosial.

“Ia perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku dan kemungkinan wujud dalam kalangan netizen di kawasan itu yang bertindak nakal untuk mensensasikan perkara itu.

“Pihak polis juga menganggap kes tersebut selesai dan tidak ada tindakan lanjut,” katanya.

Kata beliau, siasatan polis juga mendapati ia tindakan rambang pihak tidak bertanggungjawab bukan dengan menyasarkan kubur berkenaan.

“Bukan sasarkan kubur berkenaan kerana kebetulan arwah baru meninggal dunia dan kubur itu ada sedikit mendapan,” tambahnya.

Utusan Malaysia pada 20 September lalu melaporkan penduduk di sekitar bandar ini gempar dengan kejadian ‘kubur berdarah’ di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan di Derga.

Kejadian itu turut viral di Facebook dengan mendakwa kubur itu dipenuhi cecair berwarna merah dipercayai darah.

Bagaimanapun, kubur tersebut yang sedikit mendap kemudian ditimbus semula oleh pihak masjid. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN