KEMAMAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu memberi tumpuan kepada 74 lokasi berisiko banjir di daerah ini dan Dungun susulan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat yang dijangka berlaku sehingga lusa.
Ketua Zon 2 JBPM negeri, Azman Alias berkata, antara kawasan rendah yang dikenal pasti berisiko dinaiki air ialah kawasan pedalaman di Hulu Dungun seperti Kampung Syukor, Kampung Kuala Jengai dan Kampung Pasir Raja.
“Di Kemaman pula, lokasi yang dikenal pasti ialah Kampung Seberang Tayor, Padang Kubu, Kampung Teladas dan Kampung Tebak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azman berkata, pihaknya dengan kekuatan 261 anggota dan pegawai di Zon 2 sentiasa bersiap sedia menghadapi bencana banjir yang berlaku saban tahun di negeri itu.
Katanya, dari segi kelengkapan aset pula, terdapat sebanyak 21 aset darat termasuk jentera dan kenderaan pacuan empat roda di samping 21 bot bagi kegunaan di dua daerah ini.
“Kesemua aset itu telah diuji sebelum kita gunakan untuk operasi menyelamat nanti.
“Di samping itu, kita membuat rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan rendah dan ketika berlaku fenomena air pasang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah lebih awal sekiranya hujan lebat dan air pasang besar berlaku. – UTUSAN ONLINE