KEMAMAN: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berjaya menyelamatkan seekor anak lembu yang terjatuh ke dalam longkang di Kampung Baru Kertih, di sini hari ini.
Haiwan itu dikatakan terjatuh ke dalam longkang sedalam 1.5 meter sebelum disedari penduduk kampung.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Zon 2 Kertih, Abdullah Abdul Latif berkata, usaha mereka untuk menyelamatkan anak lembu itu menemui jalan buntu berikutan keadaan longkang yang dalam dan air deras.
“Kami cuba beberapa kali untuk mengangkat lembu itu tetap tidak berjaya kerana untuk turun ke dalam longkang kami bimbang keselamatan diri lalu mengambil keputusan untuk menghubungi pihak bomba,” katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairul Hasni Mokhtar berkata, pihaknya dengan kekuatan tujuh anggota termasuk seorang pegawai mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyelamatkan anak lembu malang tersebut selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.48 pagi.
“Kita menggunakan tangga dan tali bagi menyelamat serta membawa keluar anak lembu itu dari longkang.
“Haiwan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan lemah namun selamat,” katanya. -UTUSAN