JOHOR BAHRU : Seorang lelaki dikategorikan sebagai obesiti terpaksa dipindahkan dari sebuah hospital swasta ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dengan bantuan anggota bomba.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II, K. Karupannan berkata, lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai berat 250 kilogram (Kg) itu dipindahkan menggunakan khidmat bomba dengan lori lima tan.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pada pukul 5.07 petang semalam.
“Sebaik menerima panggilan, kelaki berkenaan dipindahkan dengan mengusung pesakit di atas katil menggunakan sebuah lori utiliti lima tan.
“Pesakit itu kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, operasi khas itu melibatkan seramai lapan anggota beserta tiga buah jentera.
Operasi berkenaan kemudiannya ditamatkan pada pukul 5.30 petang.