KUALA LUMPUR: Keputusan meletakkan syarat menyokong Belanjawan 2021 supaya kerajaan meluluskan pengeluaran wang Akaun 1, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan automatik moratorium tindakan janggal.
Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) berkata, tiada keperluan meletakkan syarat sebegitu sebaliknya mempertimbangkan bantuan kepada bank bagi mengimbangi perniagaan melalui geran pembiayaan yang lebih banyak dan besar.
Beliau menyifatkan sokongan bersyarat dinyatakan Barisan Nasional (BN) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam umpama hikayat Puteri Gunung Ledang.
“Saya mempunyai pandangan berbeza dengan ahli parlimen lain. Bantuan bersasar adalah lebih menepati keadaan dan keperluan rakyat selain mengekalkan kestabilan kewangan negara.
“Meletakkan syarat sokongan (KWSP dan moratorium) agak janggal kerana ia tiada keperluan dalam Belanjawan 2021.
“Ia macam dalam hikayat Puteri Gunung Ledang yang mengenakan syarat membuat jambatan, hidangan nyamuk sekian-sekian namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat semalam.
Ahmad Fadhli turut menyokong pemberian moratorium secara bersasar seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021.
Katanya, langkah tersebut dapat membantu sektor perbankan serta dapat meningkatkan ekonomi negara.
“Saya yakin ada yang tidak memerlukan moratorium kerana data kerajaan ada mencatatkan ketidakperluan beberapa golongan untuk lanjutan itu.
“Bagaimanapun, proses dokumen lanjutan moratorium boleh tidak terlalu sukar dan memudahkan golongan bersasar,” ujarnya. – UTUSAN