KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang membayangkan bahawa kerajaan tidak dapat membayar segala komitmen termasuk gaji penjawat awam seandainya Belanjawan 2021 tidak lulus, disifatkan sebagai kenyataan hambar dan berbaur ugutan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebahagian daripada rencana untuk mengetepikan suara majoriti ahli Parlimen.
Tegasnya, blok pembangkang hanya mendukung Belanjawan berkenaan sekiranya ia benar-benar untuk memerangi Covid-19.
“Saya yakin bahawa kita mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat.
“Seperti mana yang saya tegaskan tatkala membahaskan Belanjawan di Parlimen, soal emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus dan utamanya perbelanjaan untuk barisan hadapan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan tetap dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.5 bilion adalah yang terbesar pernah dirangka dan ia dibentangkan Tengku Zafrul di Dewan Rakyat pada 6 November lalu. – UTUSAN ONLINE