Belanjawan 2021 dipastikan sampai kepada rakyat - PM - Utusan Malaysia

Belanjawan 2021 dipastikan sampai kepada rakyat – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala peruntukan bantuan dalam Belanjawan 2021 akan dipastikan benar-benar sampai kepada rakyat agar mereka yang berhak memperoleh manfaat segera.

Justeru, Perdana Menteri meletakkan jaminan untuk memantau sendiri dan membuat semakan dengan turun padang bagi meneliti proses pelaksanaannya sebagaimana Laporan Laksana sebelum ini bagi memantau perkembangan program Bantuan Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Bagaimanapun, beliau berkata, semua itu tidak akan bermakna jika Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam tidak diluluskan oleh semua ahli Parlimen ketika ia akan mula dibahaskan Isnin ini.

“Oleh itu kita mengharapkan semua ahli Parlimen tidak mengira parti dari kerajaan mahupun pembangkang supaya meluluskan Belanjawan 2021 ini, jika tidak kesianlah rakyat.

“Walaupun kita sedar Belanjawan 2021 ini bukanlah satu penyelesaian kepada semua masalah, tetapi satu usaha untuk menyelesaikan isu-isu besar iaitu menangani Covid-19 dan langkah pemulihan ekonomi.

“Ini adalah satu belanjawan inklusif mencakupi semua bidang dan memberi kebaikan kepada semua peringkat tanpa seorang pun ketinggalan. Tolong beritahu saya golongan mana yang tidak disentuh dalam belanjawan ini,” katanya dalam wawancara khas malam ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Belanjawan 2021 menjadi terpenting dalam sejarah negara walaupun agak sukar untuk mencari dana peruntukan besar, namun kerajaan perlu berusaha walaupun terpaksa membuat pinjaman demi membantu rakyat menempuh situasi sukar ketika ini.

Beliau berkata, langkah ini akan memberi kesan penggandaan kepada rakyat terutama dalam mengekalkan pekerjaan mereka dan pada masa sama menjana ekonomi negara jika rakyat mempunyai pendapatan dan mula berbelanja.

Kata beliau, ia merupakan langkah permulaan sekali gus meningkatkan sektor-sektor perniagaan dan peruncitan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana jika tiada bantuan langsung diberikan, ada kalangan rakyat terpaksa menganggur.

“Ini langkah awalan bantuan dalam Belanjawan ini demi membantu sektor perniagaan terutama PKS yang sebahagian besarnya bumiputera terlibat, ini kumpulan terbanyak perlu dibantu supaya tidak terus jatuh ke bawah paras kemiskinan.

“Bagaimanapun, sektor swasta juga penting untuk membantu langkah ini kerana tidak mungkin segalanya dibebankan kepada kerajaan. Namun, kerajaan juga perlu membantu sektor swasta dengan menyediakan insentif-insentif tertentu,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan sedar kebimbangan rakyat terbesar ialah soal pekerjaan, justeru Majlis Pekerjaan yang akan dipengerusikan beliau sendiri dibentuk sebagai langkah kehadapan demi menangani isu pengangguran selain merangka pelbagai bentuk latihan.

Katanya, pada masa sama, galakan untuk membantu usahawan bumiputera turut menjadi tumpuan supaya tidak ada ketirisan dalam merasai kek ekonomi antara kaum.

Mengulas mengenai kritikan pembangkang yang menyifatkan belanjawan itu tidak berlaku lonjakan ekonomi, beliau memberitahu, kerajaan bersikap terbuka untuk mendapatkan input daripada semua pihak termasuk dalam kalangan pembangkang.

Namun, katanya, belanjawan yang dirangka itu memberi satu gerakan untuk lebih menuju kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih munasabah.

“Saya mahu melihat pendekatan baharu (libat urus pembangkang) ini untuk kebaikan bersama bukan untuk kerajaan sahaja tetapi rakyat. Jadi saya mahu mempelawa pembangkang untuk duduk bersama dalam Majlis Tindakan Ekonomi yang saya pengerusikan tiap-tiap minggu selain Mesyuarat Pengurusan Covid-19 supaya mereka dapat memberikan pandangan sama.

“Ini merupakan titik permulaan, apa yang menjadi keutamaan ialah masalah rakyat, bukan masalah politik atau parti tetapi soal menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN