Bekas pengurus maut dilanggar treler selepas cuba bakar kilang - Utusan Malaysia

Bekas pengurus maut dilanggar treler selepas cuba bakar kilang

KERETA bekas pengurus yang merempuh masuk sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Chemor di Ipoh, Perak, semalam. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki yang memandu dan merempuh masuk sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Chemor ditemukan maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar, di sini semalam.

Lelaki berusia 52 tahun yang merupakan bekas pengurus kilang tersebut maut di tempat kejadian setelah dirempuh sebuah treler dalam nahas pada pukul 7.45 malam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, sebelum nahas tersebut, lelaki yang baru ditamatkan perkhidmatan itu memandu kereta jenis Honda Civid dan menceroboh masuk ke kilang berkenaan pada pukul 6.42 petang.

Katanya, suspek kemudian bertindak merempuh bahagian fasa satu kilang yang terletak kira-kira 500 meter daripada pintu utama.

“Suspek pada awalnya merempuh masuk ke dalam kawasan kilang dan berhenti seketika untuk membaling botol petrol ke dalam pejabat sumber manusia.

“Seterusnya dia kembali memandu dan merempuh bilik Production Labelling Department menyebabkan kebakaran namun api dipadamkan pengawal keselamatan bertugas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut A. Asmadi, kejadian di kilang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

Katanya, suspek yang tidak membawa senjata itu melarikan diri dengan berjalan kaki melalui pintu utama selepas meninggalkan keretanya di dalam kilang berkenaan.

“Suspek dilanggar sebuah treler ketika melintas jalan dan maut di tempat kejadian. Saksi awam memberitahu, suspek seolah-olah sengaja melintas jalan ketika treler tersebut hampir dengannya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan motif kejadian dipercayai berpunca suspek tidak berpuas hati kerana digantung kerja sejak September lalu atas masalah disiplin,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, sebelum kejadian, lelaki tersebut memuat naik video berdurasi lebih 14 minit menjelaskan berkaitan pemberhentian kerja oleh majikan terhadapnya yang tular dalam media sosial sejak semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya