Bekas pengarah jabatan MPHTJ didakwa tipu dokumen - Utusan Malaysia

Bekas pengarah jabatan MPHTJ didakwa tipu dokumen

HAFIZAWATI Ahmad (tengah) diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini. -UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas Pengarah Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan minit mesyuarat palsu bagi membeli baju-T dan apron, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Hafizawati Ahmad, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Hafizawati didakwa semasa bertugas sebagai Pengarah di Jabatan Pelesenan MPHTJ secara tidak jujur menggunakan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Dan Perniagaan yang diketahui adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Bilik Mesyuarat Hang Tuah kira-kira pukul 2.30 petang pada 10 April 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Minit mesyuarat itu digunakan bagi mendorong pihaknya mengeluarkan sejumlah wang bernilai lebih RM13,000 sebagai tuntutan pembelian baju-T dan apron bagi kegunaan pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut meminta syarat tambahan dikenakan termasuk pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan meminta tertuduh tidak berhubung dengan mana-mana saksi perbicaraan sehingga kes selesai.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh bersetuju dengan jumlah jaminan ditawarkan berserta syarat tambahan tersebut.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Mohd. Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan syarat tambahan dimohon Irwan Shah dilaksanakan.

Beliau menetapkan 24 Disember ini bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN