Bawa bayi dua bulan hisap dadah - Utusan Malaysia

Bawa bayi dua bulan hisap dadah

WANITA yang membawa anaknya berusia dua bulan untuk menghisap dadah ditahan AADK ketika serbuan di sebuah rumah kosong di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang ibu muda tergamak membawa bayi lelakinya yang baru berusia dua bulan untuk melepaskan gian menghisap dadah di sebuah rumah kosong di Bukit Mertajam, dekat sini semalam.

Bagaimanapun, wanita berusia 20-an itu ditahan sekumpulan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seberang Perai yang melakukan serbuan di lokasi berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.

Pengarah AADK negeri, Elmariah Chung berkata, dalam serbuan itu, turut ditahan ialah dua lelaki dan seorang wanita lingkungan usia 20-an yang sedang berkumpul dipercayai untuk menghisap dadah.

“AADK menahan keempat-empatnya untuk siasatan lanjut selepas mendapati mereka positif dadah jenis syabu manakala bayi itu diserahkan kepada keluarga wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Elmariah, pihaknya melakukan serbuan itu susulan maklumat awam selain risikan selama seminggu dan didapati dijadikan lokasi tumpuan kumpulan penagih dadah sejak Jun lalu.

“Siasatan mendapati mereka mengaku terlibat dengan kegiatan penagihan dadah dan kesemuanya ditahan di lokap ADDK bagi siasatan lebih lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan 1998. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN