ALOR GAJAH: Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terhadap sesuatu rancangan pembangunan yang dilakukan dengan lebih teliti mungkin boleh mengelak banjir di kawasan yang tidak pernah berdepan bencana itu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, beberapa kawasan yang tidak pernah banjir kali ini turut dinaiki air yang tidak mustahil berpunca daripada kekurangan kajian tersebut.
Beliau berkata, kajian yang mengenal pasti, meramal dan menghuraikan kebaikan
dan keburukan sesuatu cadangan projek pembangunan sangat penting supaya kesan sosial seperti banjir tidak berlaku.
“Kalau kita buat kajian (EIA) lebih mendalam sebelum meluluskan projek-projek tertentu mungkin tidak akan terjadi banjir, tempat ini misalnya 57 tahun tidak pernah banjir tiba-tiba air naik sampai 1.5 meter.
“Jadi, saya nak seru rakan saya di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Air dan Sumber Asli supaya lebih mengambil perhatian kepada segala bentuk perancangan dan pembangunan di kawasan terlibat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Durian Tunggal yang turut terjejas akibat banjir di daerah ini di sini hari ini.
Mengambil contoh banjir di sekolah tersebut, Mohd. Redzuan berkata, Jabatan Pengairan Saliran (JPS) perlu bertanggungjawab memastikan sungai berhampiran dapat menampung impak pembangunan sekitar terutama sekali pada musim tengkujuh.
“Kita tidak mahu impaknya memberi kesan mudarat kepada masyarakat sekeliling ekoran bencana banjir yang berlaku,” katanya yang turut mengumumkan bantuan kecemasan sebanyak RM20,000 kepada sekolah itu.
Sementara itu, beliau memaklumkan tiada keperluan untuk membekukan cuti pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sepanjang musim tengkujuh sehingga Mac tahun depan.
Kata beliau, tidak dinafikan ancaman pandemik Covid-19 menjadi cabaran besar kepada petugas daripada semua agensi terlibat dalam menguruskan keperluan mangsa banjir.
Namun, dengan penglibatan lebih 2 juta anggota sukarelawan APM yang berada di setiap daerah seluruh negara, kerajaan yakin peranan mereka mampu menampung keperluan petugas di semua pusat pemindahan sementara. – UTUSAN ONLINE