ALOR SETAR: Suasana bandar raya ini kembali rancak selepas kes positif Covid-19 di negeri ini semakin terkawal.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pusat perniagaan termasuk di Kompleks Pekan Rabu di sini mendapati jumlah pengunjung semakin meningkat berbanding sebelum ini.
Suasana tersebut sekali gus menceriakan peniaga-peniaga bandar raya itu selepas perniagaan mereka menunjukkan sedikit peningkatan walaupun tidak pulih sepenuhnya.
Pengurus Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Bhd., Izahar Ibrahim berkata, kehadiran pengunjung termasuk pelancong di Kompleks Pekan Rabu semakin ramai dan beberapa buah bas pelancongan juga mulai singgah di pusat perniagaan itu.
Menurut beliau, kes Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini juga semakin terkawal apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Pokok Sena berakhir semalam.
“Lebih 300 peniaga mengharapkan pelancong kembali berkunjung dan beli-belah,” katanya di sini hari ini.
Seorang peniaga restoran di Kuala Kedah, Othman Sulaiman, 37, berkata, kebanyakan peniaga meneruskan usaha bangkit semula selepas perniagaan merudum teruk sejak Mac lalu.
“Saya mengharapkan penularan Covid-19 tidak datang lagi dan kami dapat menjalankan aktiviti seperti biasa,” katanya.
Seorang pengurus acara, Azizah Abd Rahman, 31, berkata, kerajaan negeri perlu mengadakan kempen untuk menggalakkan lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini selepas penularan Covid-19 semakin terkawal.
“Kehadiran pelancong antara penyumbang ekonomi di negeri ini, selain merancakkan semula sektor perniagaan selepas merosot,” ujarnya.- UTUSAN