Artis dan politik: Popular belum tentu menang - Utusan Malaysia

Artis dan politik: Popular belum tentu menang

pemilihan PKR
HANS ISAAC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Populariti yang dimiliki anak seni bukan satu jaminan untuk mereka melangkah sebagai ahli politik dan memenangi kerusi dalam pilihan raya.

Penyanyi, Aishah berkata, gelaran artis memang memudahkan seseorang untuk dikenali ramai namun tidak semua peminat adalah pengundi.

Paling penting jelasnya, adalah niat dan usaha seseorang itu untuk memenangi hati rakyat.

“Bila kita mahu bertanding sebagai ahli politik, paling penting adalah niat kita. Adakah untuk rakyat atau sekadar mahu menang? Kemenangan adalah satu tanggungjawab. Sebab itu popular sahaja bukan jaminan.

“Saya sendiri sudah meninggalkan dunia politik. Tetapi pesan saya kepada semua artis atau sesiapa sahaja yang mahu jadi ahli politik, berjuanglah untuk rakyat. Pikul tanggungjawab dengan jujur dan amanah,” katanya yang pernah bertanding kerusi Parlimen Jempol dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Aishah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin yang mengalu-alukan sesiapa termasuk artis untuk merebut kerusi parlimen tersebut dalam pilihan raya akan datang.

Zuraida dalam ucapannya juga mengakui tidak tahu ada desas-desus bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang juga ahli PKR, Datuk Hans Isaac bakal bertanding di kerusi itu dalam PRU-15.

Sementara itu Hans ketika dihubungi berkata, buat masa ini dia menyerahkan soal pencalonan kepada pimpinan PKR namun fokusnya kini adalah untuk terus menyalurkan bantuan kepada penduduk di sekitar Ampang.

“Fokus saya adalah untuk membantu penduduk di Ampang, dengan rasa hormat sebarang pencalonan untuk PRU-15 di Ampang adalah berdasarkan keputusan presiden, parti dan penduduk Ampang sendiri.

“Pasukan saya melalui #kitabudakamapang akan memberi fokus kepada program yang sudah diatur dan dalam masa yang sama akan sentiasa menghargai sokongan dan bantuan yang kami dapat,” katanya.

Dalam pada itu penyanyi senior, Dayangku Intan menegaskan, bagi mana-mana golongan artis yang berani bertanding dalam pilihan raya atau terlibat dalam dunia politik, mereka harus ikhlas dengan apa yang diperjuangkan.

“Populariti artis ini lain daripada ahli politik. Sebagai seorang yang pernah berada di situ, saya tahu.

“Artis boleh dikecam dengan teruknya, sama juga dengan ahli politik. Tetapi maaf cakap, adakalanya buah fikiran golongan artis ini lebih baik daripada ahli politik. Namun pastikan setiap yang bertanding mempunyai keikhlasan dan tahu apa yang diperjuangkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya