PUTRAJAYA: Kadar mangsa maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara sepanjang tahun lepas menurun sedikit, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Malahan angka kematian yang direkodkan pada 2019 juga adalah paling kurang berbanding empat tahun sebelumnya meskipun jumlah nahas jalan raya pula sebaliknya bertambah tinggi.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menerusi kenyataan yang diterbitkan dalam Kompendium Perangkaan Alam Sekitar 2020.
Menurut beliau, angka pertambahan kemalangan itu kemungkinan disumbangkan oleh faktor peningkatan jumlah kenderaan serta pertambahan laluan jalan raya dan lebuh raya baharu.
“Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan 567,516 kemalangan pada 2019 dengan 8,877 mangsa yang mengalami kecederaan dan 6,167 mangsa meninggal dunia,” jelas Mohd. Uzir.
Jika dilihat dari segi perbandingan tahun ujarnya, angka jumlah nahas jalan raya pada 2019 naik berbanding 548,598 kes pada 2018, 533,875 (2017), 521,466 (2016) dan 489,606 (2015).
Bagaimanapun bilangan pengguna jalan raya yang maut pula didapati menurun dibandingkan dengan 6,284 mangsa terkorban pada 2018, 6,740 (2017), 7,152 (2016) dan 6,706 (2015).
Sementara angka kecederaan adalah tinggi daripada tahun 2018 dengan 8,341 mangsa tetapi lebih rendah berbanding 9,849 mangsa pada 2017, 11,921 (2016) dan 11,552 (2015).
Selangor kekal sebagai negeri paling banyak kemalangan pada tahun lalu dengan 168,222 kes diikuti Johor (82,502 kes) dan tiga Wilayah Persekutuan yang digabungkan (74,389 kes).
Begitu juga angka maut nahas dengan Selangor tertinggi iaitu 1,054 mangsa, disusuli Johor (1,040), Perak (667), Pahang (454), Kedah (446), Pulau Pinang (392) dan Sarawak (369).
Namun rekod kecederaan pula dipegang oleh Kelantan dengan 1,475 mangsa diikuti Perak (1,060), Kedah (999), Negeri Sembilan (976), Selangor (824), Sabah (632) dan Johor (569).-UTUSAN ONLINE