Ahmad Maslan: 10 saksi pendakwaan dipanggil - Utusan Malaysia

Ahmad Maslan: 10 saksi pendakwaan dipanggil

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar yang mengetuai pasukan pendakwaan hari ini.

Menurut beliau, pernyataan kesemua saksi telah diserahkan kepada mahkamah dan pasukan pembelaan awal bulan lalu.

Perbicaraan kes membabitkan Ahli Parlimen Pontian sepatutnya bermula pada 16 dan 23 Oktober lalu sebelum disambung hari ini namun terpaksa dilapangkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Kelang. 

Mengikut pertuduhan, Ahmad didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram kerana tidak melaporkan pendapatan berjumlah RM2 juta diterima daripada Najib kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Wang didakwa diterima melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 sebelum ditunaikan  tertuduh pada hari  sama.

Perbuatan didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu tersebut di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali  jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN