SHAH ALAM: Perbahasan Belanjawan 2021 Selangor di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini memperlihatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham menolak belanjawan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu.
Muhammad Hilman menyifatkan Belanjawan 2021 dibentangkan ADUN Sungai Tua itu tidak mencapai matlamat iaitu membantu rakyat yang berada dalam krisis ekonomi walaupun menyatakan kegusaran terhadap perkara tersebut.
Menurut beliau, belanjawan tahunan perlu mencerakinkan kebijakan dan inisiatif yang lebih berfokus, proaktif dan responsif terhadap persekitaran ekonomi semasa sebagai asas kepada penyelesaian masalah rakyat.
“Bagaimanapun, keyakinan rakyat terhadap kepedulian kerajaan negeri untuk menyelesaikan krisis ini meleset apabila melihat strategi belanjawan Selangor yang sama sekali tidak mencapai matlamat) dan isu utama yang menjadi kekhuatiran kita.
“Saya tidak faham mengapa setelah kerajaan negeri menyatakan kegusaran terhadap krisis ekonomi yang berlaku tetapi akhirnya meletakkan strategi pemulihan ekonomi sebagai strategi yang terakhir.
“Ini mencerminkan seolah-olah tidak ada simbiosis di antara permasalahan dan strategi penyelesaian yang dirangka oleh kerajaan negeri,” katanya ketika membahas Belanjawan 2021 di sini hari ini.
Tambah Muhammad Hilman, indikator kepada pencapaian ekonomi negeri bukan di ukur berdasarkan pengurangan defisit atau jumlah rizab negeri yang tinggi sebaliknya dilihat daripada jumlah peluang pekerjaan yang dicipta, peningkatan nilai kuasa beli rakyat, pemerkasaan rantaian nilai dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Kita harus keluar daripada paranoia perbelanjaan defisit dan peningkatan rizab negeri, namun menjamin prinsip pemerintah yang baik dan tiada kebocoran serta pembaziran dalam perbelanjaan.
“Malah, sebuah kerajaan negeri yang tidak mempunyai kuasa dalam mengurus dasar monetari dan tanggungjawab dalam pengurusan fiskal. Kerajaan negeri seharusnya memberi fokus kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui pemerkasaan kuasa beli rakyat.
“Keutamaan juga tidak harus diberikan kepada kutipan hasil kerana penguncupan ekonomi tidak mungkin dapat mencapai sasaran hasil. Namun, kita harus menjana dan merancakkan pertumbuhan untuk menjamin peningkatan hasil yang mampan,” ujarnya. – UTUSAN