KANGAR : Sekitar 90 peratus daripada laporan kes lemas yang diterima pasukan bomba dan penyelamat membabitkan kematian dengan sebanyak 245 kes direkodkan dari awal tahun ini sehingga Oktober lalu di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Ruhisha Haris berkata, jumlah tersebut hampir menyamai kes kematian berikutan Covid-19.
Justeru katanya, bomba negeri terus berusaha bagi memastikan Perlis sifar kes lemas termasuk memperkenal kempen Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA).
Katanya, kempen tersebut bagi menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan keselamatan ketika berada di kawasan air.
“90 peratus daripada laporan kes lemas yang diterima melibatkan kematian dan hanya dua peratus sahaja yang selamat manakala selebihnya adalah lain-lain kes seperti panggilan palsu.
“Ini kerana, jika pasukan penyelamat mengambil masa 10 minit pun mungkin sudah tidak sempat untuk menyelamatkan mangsa yang meninggal dunia.
“Jadi program yang kami jalankan ini ialah untuk memberi kesedaran kepada pengunjung-pengunjung pusat rekreasi mengenai risiko aktiviti ini dan supaya mereka lebih berwaspada,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran kempen tersebut di Pusat Rekreasi Bukit Ayer di sini hari ini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Awang Shaffie Awang Ahmadni.
Tambah Ruhisha, sebanyak tujuh tempat berisiko dikenal pasti di negeri ini iaitu Pusat Rekreasi Bukit Ayer; Sungai Batu Pahat; Pusat Rekreasi Sungai Bukit Jernih; Gua kelam; Timah Tasoh; Kuala Sanglang dan Sungai Tambun Tulang.
Sementara itu, Azman berkata, pemasangan papan tanda MKAA tersebut dapat memberi amaran kepada pengunjung pusat rekreasi mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu mereka ambil di kawasan tersebut.
“Saya juga telah berbincang dengan JBPM dan Jabatan Perhutanan supaya maklumat mengenai penjagaan keselamatan ini dapat diperoleh dalam bentuk digital.
“Sebagai contoh, sebelum mereka masuk ke tempat rekreasi air, mereka perlu mengimbas kod QR untuk mendapatkan maklumat mengenai keselamatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE