50 mangsa ditipu jurujual telco, tunggakan bil RM547,436 - Utusan Malaysia

50 mangsa ditipu jurujual telco, tunggakan bil RM547,436

YUSRIZAL Yusoff (duduk) bersama mangsa ditipu jurujual sebuah syarikat telco menunjukkan laporan polis yang dibuat oleh mereka di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 50 mangsa mendakwa maklumat peribadi mereka disalah guna oleh jurujual di kedai syarikat telekomunikasi (telco) bagi mendaftarkan akaun talian lain sehingga menyebabkan mereka terpaksa menanggung tunggakan bil berjumlah RM547,436.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kesemua mangsa berusia lingkungan 20-an hingga 30-an dikatakan mendaftar talian telefon di kedai telco di sebuah pasar raya di sini.

“Mangsa mendakwa jurujual itu menyalahgunakan cap jari mereka untuk mendaftarkan lebih daripada satu talian.

“Mereka terkejut apabila ada talian didaftarkan mengikut pakej seperti telefon bimbit dan jam pintar, sedangkan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara itu,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, rata-rata mangsa hanya menyedari perkara itu selepas menerima surat daripada peguam telco mengenai tunggakan bil yang mencecah puluhan ribu ringgit.

“Mangsa ke kedai itu semula, bagaimanapun jurujual di situ menyatakan bahawa surat itu adalah ‘scam’ tetapi apabila diperiksa, nama mereka telah disenarai hitam,” ujarnya.

Seorang mangsa yang enggan identitinya didedahkan berkata, dia terkejut selepas menerima bil sebanyak RM16,000 pada Oktober lalu.

Katanya, dia mula menggunakan talian telefon daripada sebuah syarikat telco pada 2018 dan mahu mengemas kini akaun selain turut ditawarkan telefon bimbit baharu.

“Sebelum itu saya diminta cap jari terlebih dahulu oleh wakil penjual itu di sebuah pasar raya di Mergong di sini pada Februari lalu.

“Kemudian pada Oktober lalu saya mulai sedar dan terkejut apabila menerima bil sebanyak RM16,000 kerana sebelum itu hanya menerima bil sebanyak RM100 sahaja,” katanya.

Dakwanya, dia kemudian merujuk kepada telco berkenaan dan mereka memintanya untuk membuat laporan polis.

“Saya dapati terdapat dua akaun palsu dan empat nombor telefon bimbit didaftarkan atas nama saya. Sebab itu saya menerima bil sebanyak RM16,000.

“Apa yang menyedihkan syarikat telco itu mengarahkan saya untuk membayar tunggakan bil itu,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali, Salleh, 30, berkata, dia terkejut apabila menerima surat saman supaya menjelaskan hutang sebanyak RM8,402 pada Oktober lalu.

Katanya, dia berminat untuk mendapat telefon bimbit baharu yang ditawarkan oleh telco, bagaimanapun sebelum itu dia perlu memberi cap jari kepada jurujual syarikat telco berkenaan.

“Dalam masa dua hari sahaja saya sudah mendapat telefon bimbit itu pada Mac lalu. Kemudian pada Oktober saya menerima surat saman supaya menjelaskan bayaran sebanyak RM8,402,” dakwanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya