Bekalan air pulih secara berperingkat mulai pukul 3 petang - Utusan Malaysia

Bekalan air pulih secara berperingkat mulai pukul 3 petang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas semalam berikutan terdapat pencemaran bau telah beroperasi semula pada pukul 2.40 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, bekalan air kepada pengguna yang terjejas dijangka mula diterima secara berperingkat pada pukul 3 petang ini.

Menurut kenyataan itu, pemulihan bekalan akan mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan bekalan air.

“Semua LRA ini beroperasi secara berperingkat selepas bacaan 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan.

“Sehingga pukul 7 pagi tadi, keempat-empat LRA selesai melaksanakan aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan bagi memastikan kualiti air adalah bersih serta selamat mengikut piawaian Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menurutnya, Air Selangor turut melakukan pengesahan kualiti air di setiap bahagian dalam proses rawatan air serta kolam imbangan yang disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kita sedang berusaha menstabilkan sistem agihan sebelum bekalan air dapat diagihkan kepada para pengguna. 

“Bekalan air dijangka pulih bermula 3 petang ini dan Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan mengikut kawasan selepas sistem agihan bekalan air distabilkan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, bantuan bekalan air alternatif yang telah dilaksanakan akan diteruskan bagi membantu para pengguna.

“Bantuan ini termasuk menggerakkan sebanyak 111 lori tangki, 14 pili awam dan membuka 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) serta mengagihkan air minuman lima liter,” katanya.

Terdahulu, seramai enam juta penduduk merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam,Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air bermula 6 petang semalam.

Gangguan bekalan air tidak berjadual yang melibatkan 1,139,008 akaun berpunca daripada pencemaran bekalan air mentah di Sungai Selangor.

Pencemaran bau seakan pelarut dikesan di Sungai Selangor dan empat Loji Rawatan Air (LRA) telah dihenti tugas iaitu pada pukul 12.45 tengah hari. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN