KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak perlu bimbang berkenaan status kelewatan pendaftarannya di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selain ia bukan disabotaj daripada pihak tertentu.
Kelewatan pendaftaran itu mungkin mengambil masa atas faktor keadaan semasa terutama dengan pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, spekulasi negatif hanya mengakibatkan sistem urus tadbir negara dicemari dengan tuduhan tidak berasas di samping memburukkan demokrasi berperlembagaan yang dipegang selama ini.
“Perkara yang perlu dilakukan sekarang adalah menunggu sehingga kelulusan diberikan. Sekiranya tidak berpuas hati dengan proses tersebut sehingga mengakibatkan kelewatan, Pejuang boleh mengambil langkah seterusnya dengan merujuk kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bendahari Penaja Pejuang, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh sebelum ini mengakui, beliau masih belum menerima sebarang kenyataan bertulis daripada ROS berhubung pendaftaran partinya yang diasaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ditanya berhubung senario itu, Noor Sulastry Yurni enggan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak sebaliknya Pejuang perlu menggunakan saluran yang betul dengan berjumpa ROS untuk mendapatkan jawapan sebenar.
“Jangan cepat melatah dengan perkara yang boleh diselesaikan dengan rasional supaya tidak terlalu ketara membelakangkan prosedur terutama pihak yang akan membuat keputusan terhadap permohonan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE