SETIU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa kira-kira 30 minit bagi menangkap seekor ular tedung selar yang bersembunyi dalam reban ayam di Kampung Bukit Kecil, Chalok di sini semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapten (PA) Mohd. Nizu Husien berkata, reptilia seberat hampir 10 kilogram dengan panjang 4.26 meter itu bertindak agresif ketika operasi tangkapan.
Katanya, seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 4.40 petang.
“APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan ular itu dari reban kerana saiznya yang terlalu besar dan bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Nizu memberitahu, ular tersebut kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah kira-kira pukul 6.40 petang untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE