3 individu rugi RM39,400 ditipu sindiket pinjaman melalui WhatsApp - Utusan Malaysia

3 individu rugi RM39,400 ditipu sindiket pinjaman melalui WhatsApp

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Hasrat tiga individu di sini dan Kepala Batas dekat sini untuk mendapatkan pinjaman antara RM10,000 hingga RM50,000 bukan sahaja tidak kesampaian, malah wang simpanan mereka pula ditipu sindiket pinjaman menerusi aplikasi WhatApps.

Dalam kejadian semalam, ketiga-tiga mereka membuat laporan polis selepas kerugian lebih RM39,400 dipercayai ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Mangsa iaitu pengurus syarikat lelaki dan kerani lelaki masing-masing berusia 43 tahun serta peniaga dalam talian wanita berusia 26 tahun kerugian sebanyak RM23,311.46, RM13,156 dan RM3,000 selepas terjerat dalam penipuan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua mangsa berhasrat membuat pinjaman selepas menerima tawaran daripada individu yang mendakwa ejen syarikat menerusi aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun diminta membuat bayaran pemprosesan dan bayaran pengaktifan akaun terlebih namun menyedari ditipu selepas ejen berkenaan berterusan meminta wang.

“Pengurus itu melakukan lima transaksi memasukkan wang ke dalam tiga akaun bank berjumlah RM23,311.46 manakala kerani tersebut membuat lapan transaksi ke dalam akaun bank diberikan seorang individu berjumlah RM13,156.

“Mangsa ketiga yang pinjamannya sebanyak RM30,000 didakwa lulus pula diminta membuat pelbagai bayaran sehingga RM3,000 dan melakukannya menerusi satu transaksi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, siasatan mendapati ketiga-tiga mangsa terpengaruh dengan pakej pinjaman menarik selain ansuran bulanan rendah yang ditawarkan sindiket yang hanya berurusan menerusi WhatsApp.

Menurutnya, kesemua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN