2,668 mohon perakuan penginapan - Utusan Malaysia

2,668 mohon perakuan penginapan

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia merekodkan  2,668 permohonan untuk perakuan penginapan di seluruh negara bermula 1 September hingga 1 November lalu.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia susulan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Ia mula berkuat kuasa pada 1 September lepas dalam usaha kerajaan membanteras elemen buruh paksa di negara ini,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 472 majikan dan 51 penyedia penginapan berpusat memohon selain sektor pembuatan paling tinggi direkodkan iaitu 1,562 permohonan.

Dalam tempoh itu juga, kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri menjalankan 1,322 aktiviti pemeriksaan penguatkuasaan.

“Pematuhan Akta 446 amat penting kerana ia membuktikan Malaysia memperakui piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa dalam aspek banteras unsur buruh paksa,” tegas beliau.

Isu ini katanya, cukup signifikan kerana Malaysia pernah mendapat teguran Jabatan Kastam Amerika Syarikat melibatkan kes sektor pembuatan sarung tangan getah dan kelapa sawit.

Pelaksanaan akta itu juga jelasnya, secara tidak langsung menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI)  di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Malah, kementerian itu tidak akan berkompromi dalam isu buruh paksa dengan membuat lebih 90 aktiviti pemeriksaan di bawah operasi bersepadu melibatkan lapan agensi seluruh negara.

“Kementerian mengambil inisiatif membentuk Jawatankuasa Teknikal Task Force dengan objektif utama menjurus pematuhan perundangan dasar buruh negara,” kata Saravanan.

Beliau menyeru pihak majikan dan penyediaan penginapan berpusat yang belum berbuat demikian untuk segera tampil dengan memohon terus secara dalam talian.

Mereka boleh melayari pautan http://akta446.mohr.gov.my manakala sebarang pertanyaan berkaitan, sila hubungi 03-8886 5192 / 2409 / 2352 atau mana-mana pejabat Tenaga Kerja.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya