20 penduduk Kampung Sri Dungun tinggal sehelai sepinggang - Utusan Malaysia

20 penduduk Kampung Sri Dungun tinggal sehelai sepinggang

ANGGOTA bomba memadam kebakaran dalam kejadian yang memusnahkan rumah penduduk Kampung Sri Dungun, Pontian, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kira-kira 20 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas rumah diduduki mereka musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Sri Dungun, Pontian Besar, di sini awal pagi ini.

Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi yang memusnahkan empat rumah berkenaan.

Salah seorang mangsa, Manisah Md. Som, 75, berkata, dia menyedari kebakaran itu selepas melihat dapurnya diselubungi asap tebal dan terus keluar menyelamatkan diri.

Dia yang tinggal bersendirian di rumah tersebut bersyukur kerana dapat menyelamatkan diri ketika api semakin marak ke rumah lain.

“Mujur mak cik sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri yang berada di dalam beg,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Seorang lagi mangsa, Rosmaini Uyup, 38, yang merupakan pemilik kedai runcit berkata, dia segera mengejutkan lima ahli keluarganya selepas menyedari premis mereka sedang terbakar..

“Hanya kereta dan motosikal yang diselamatkan manakala semua dokumen serta pengenalan diri hangus terbakar. Kedai runcit saya yang baru menerima stok jualan berjumlah RM1,000 pun musnah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Abdullah Sani Md Jani berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jalan Alsagoff ditugaskan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 6.24 pagi.

Katanya, lapan anggota dari BBP Pontian turut menyertai operasi memadam kebakaran berkenaan.

“Sebaik sahaja kami tiba pada pukul 6.30 pagi, api sedang marak membakar rumah separuh kayu dan semua mangsa dapat menyelamatkan diri. Punca kebakaran dan kerugian masih disiasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya