19 individu termasuk Datuk gaduh di pub ditahan - Utusan Malaysia

19 individu termasuk Datuk gaduh di pub ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 lelaki termasuk seorang individu dipercayai bergelar Datuk ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah pub di Jalan Puchong, di sini, kelmarin.

Kesemua suspek berusia antara 38 tahun hingga 59 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan diberkas kira-kira pukul 11.20 malam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Tangkapan dilakukan termasuk seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Datuk,” katanya di sini hari ini.

Kata Anuar, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kekecohan yang tercetus selepas sekumpulan lelaki yang ke pub berkenaan untuk berhibur namun premis terbabit sudah tutup.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

“Kesemua 19 tangkapan ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” jelasnya.

Terdahulu, satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 24 saat memaparkan pergaduhan antara sekumpulan lelaki tular dalam media sosial, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN