150 sukarelawan bantu penduduk bersih kediaman - Utusan Malaysia

150 sukarelawan bantu penduduk bersih kediaman

Anggota Balai Bomba Kemaman membantu penduduk Kampung Teladas membersihkan kawasan rumah yang dipenuhi lumpur. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sebanyak 150 sukarelawan Khidmat Malaysia Terengganu turun padang membantu penduduk di Kampung Teladas, di sini membersihkan kediaman mereka yang dipenuhi lumpur selepas banjir pulih kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan itu atas dasar prihatin terhadap nasib mangsa banjir.

“Kita menggunakan 10 penyembur air berkuasa tinggi di samping membawa barangan pembersihan lain seperti penyapu bagi meringankan beban mangsa banjir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengetuai operasi itu di sini semalam.

Hanafiah berkata, bantuan susulan kepada mereka yang terjejas banjir di kawasan itu akan disalurkan selepas kerja-kerja pembersihan selesai.

Katanya, situasi di Kampung Teladas teruk kerana kebanyakan harta benda penduduk musnah termasuk peralatan sekolah anak-anak.

“Banyak anak-anak yang kehilangan buku dan baju sekolah jadi kita akan bantu,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Teladas, Yazid Yasin berterima kasih kepada pihak sukarelawan yang meringankan beban kira-kira 109 keluarga mangsa banjir di kampung tersebut. 

“Kami tidak mampu untuk membersihkan rumah yang penuh lumpur dengan tenaga ahli keluarga sahaja dan sangat bersyukur dengan bantuan sukarelawan hari ini yang meringankan beban kami,” katanya.

Selain sukarelawan Khidmat Malaysia Terengganu, turut membantu membersihkan rumah penduduk ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya