Warga Singapura beri rasuah RM100 tidak mahu jalani kuarantin - Utusan Malaysia

Warga Singapura beri rasuah RM100 tidak mahu jalani kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai memberi rasuah RM100 kepada anggota Jabatan Imigresen supaya membenarkannya memasuki semula Malaysia tanpa menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Di bawah Program Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), mana-mana warga Singapura diwajibkan menjalani kuarantin seperti ditetapkan pihak berkuasa kedua-dua negara.

Suspek berusia 43 tahun ditahan pada pukul 3.50 petang semalam di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati pengarah sebuah syarikat swasta itu memberi wang tersebut kepada anggota Imigresen sebagai balasan untuk membenarkannya memasuki semula ke negara ini di bawah RGL tanpa perlu melalui tempoh kuarantin selama 14 hari di Singapura.

RGL ialah program yang membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi bagi kedua-dua negara.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN