MELAKA: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung di bahagian dapur rumahnya selepas cuba menyelamatkan tiga ekor anjing peliharaan dalam kebakaran di Lorong Yang Kee, Kampung Limbongan di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa berusia 68 tahun yang tinggal berseorangan dikatakan keluar dari rumahnya untuk menyelamatkan diri, namun kemudian tiba-tiba berpatah balik.
Menurut jirannya, Nor Lenny Mohd. Sani, 44, dia mendengar bunyi letupan pada pukul 6.45 pagi ketika sedang menguruskan anaknya untuk ke sekolah.
“Saya keluar rumah dan nampak api marak sebelum menjerit memanggil ‘uncle’ (mangsa) beberapa kali.
“Saya nampak ‘uncle’ keluar rumah tetapi dia dalam keadaan panik berlari semula ke bahagian belakang rumah. Saya rasa dia cuba selamatkan anjing peliharaannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Tambahnya, dia yang cemas terus mendapatkan anaknya keluar dari rumah manakala suaminya cuba membantu memadamkan kebakaran namun api merebak dengan cepat ke bahagian lain rumah tersebut.
“Selepas itu saya dan suami tidak nampak ‘uncle’ di mana. Tidak lama kemudian bomba sampai,” katanya sambil memberitahu seekor anjing mangsa dilihat sempat berlari keluar dari rumah tersebut.
Sementara itu, Ketua Zon Satu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Pegawai Kanan Bomba II Mohd. Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.47 pagi.
Katanya, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu bersama-sama sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian, kita dapati terdapat sebuah rumah terbakar 100 peratus dan operasi pemadaman terus dilakukan.
“Kerja-kerja pemadaman di bahagian dapur bagaimanapun menemukan satu mayat lelaki manakala di bahagian hadapan rumah pula kita menjumpai dua bangkai anjing dipercayai dipelihara mangsa,” katanya.
Katanya, kebakaran dikawal pada pukul 7.06 pagi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sementara punca kebakaran masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE