BALING: Seorang lelaki warga emas melecur sebahagian badan dalam kebakaran rumahnya di Jalan Ulu Bakai, di sini malam semalam.
Pegawai Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Hafeed Abu Hassan berkata, mangsa, Mat Daud Shariff, 85, mengalami kecederaan itu ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran berkenaan.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kulim oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, Mat Daud berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Kulim.
Mohd. Hafeed berkata, pasukan bomba dan penyelamat menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 10.38 malam.
“Seramai tujuh anggota bomba ditugaskan ke lokasi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadam kebakaran itu,” katanya.
Tambahnya, anggaran kemusnahan rumah tersebut sebanyak 95 peratus dan kos kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE