Warga emas hidap masalah lupa dijumpai lemas - Utusan Malaysia

Warga emas hidap masalah lupa dijumpai lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang warga emas yang mengalami penyakit lupa, Ismail Awang, 83, yang terjatuh ke dalam Sungai Langgar, pekan Langgar di sini semalam ditemukan lemas oleh penduduk di sungai itu, hari ini.

Mayat Ismail ditemukan terapung pada pukul 11.32 pagi iaitu kira-kira 4.3 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Kedah), Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, faktor arus air sungai deras menyebabkan mayat mangsa dihanyutkan lebih jauh.

“Pasukan bomba menjangkakan mangsa dihanyutkan arus antara satu atau dua kilometer dari lokasi kejadian namun telah dihanyutkan sehingga 4.3 kilometer,” katanya di sini hari ini.

Ismail terjatuh ke dalam sungai tersebut ketika berada di belakang sebuah kedai makan pada pukul 7 pagi semalam.

Mangsa dipercayai ke kedai makan tersebut untuk membeli nasi lemak namun belum dibuka dan dikatakan ke bahagian belakang kedai berkenaan sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa pada hari ini bermula pada pukul 8 pagi.

Katanya, operasi tersebut melibatkan kekuatan anggota bomba seramai 45 orang dari Balai Bomba Pokok Sena, Balai Bomba Jalan Raja, Balai Bomba Alor Setar, Balai Bomba Jitra dan Balai Bomba Sungai Petani.

Sementara itu, menantu mangsa, Mohd. Amin Fardullah Muthu, 31, berkata, keluarganya bersyukur mayat bapa mentuanya ditemukan hari ini.

“Saya berterima kasih kepada anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya