Wanita hobi pelik kumpul sampah sihat mental - Utusan Malaysia

Wanita hobi pelik kumpul sampah sihat mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan pelik seorang pesara guru wanita yang gemar mengumpul sampah sehingga bertimbun di dalam dan luar rumahnya bukan disebabkan masalah mental.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pemeriksaan kesihatan yang dilakukan mendapati wanita berusia 63 tahun itu normal dan tiada masalah mental.

Sebaliknya, kata beliau, tindakan wanita itu yang gemar mengumpul sampah-sarap disebabkan kebiasaan atau tabiatnya yang dilakukan setiap hari.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta telah melakukan ujian kesihatan fizikal wanita itu seperti kandungan gula dalam darah dan tekanan darah yang didapati normal.

“Tahap kesihatan mental beliau juga normal selepas pakar psikologi bertanyakan beberapa soalan berkaitan.

“Perbuatannya yang gemar mengumpul sampah disebabkan tabiat atau kebiasaannya yang setiap pagi keluar rumah kutip sampah,” katanya selepas melawat wanita berkenaan di Taman Bersatu di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin.

Menurut Ahmad Saidi, PKD Kinta juga telah melakukan sanitasi di kawasan berkenaan termasuk di dalam rumah wanita itu.

Beliau berkata, pihaknya bimbang jika timbunan sampah di rumah wanita itu menyebabkan wabak denggi atau chikungunya.

“Namun hasil pemantauan dan semakan rekod mendapati tiada kes denggi di kawasan ini, jika ada kes pun sudah terlalu lama,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan laporan mengenai hobi pelik wanita itu yang gemar mengumpul sampah di rumahnya sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan jirannya.

Ekoran itu, pada Jumaat lalu, Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) membersihkan sampah dari rumah wanita tersebut.

Dalam operasi pembersihan itu, hampir lima tan sampah diangkut menggunakan lima buah lori. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya