Wadar tak cukup jaga 72,083 banduan - Utusan Malaysia

Wadar tak cukup jaga 72,083 banduan

Penjara di seluruh negara melebihi kapasti sehingg menyukar wadar menjaga banduan atau tahanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kebanyakan penjara di negara ini bukan hanya berhadapan masalah kesesakan banduan malah turut mengalami kekurangan kakitangan untuk mengawasi tahanan.

Sangat membebankan apabila kakitangan dan wadar penjara sekitar 14,000 hingga 15,000 perlu menjaga 58 penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Pusat Pemulihan Khas (PPK), Sekolah Henry Gurney (SHG) dan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) yang dihuni 72,083 individu yang ditahan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, kekurangan wadar dan kakitangan penjara sangat kritikal lebih-lebih lagi ketika wabak Covid-19 sudah menular ke dalam penjara.

Penjara tidak boleh menolak banduan atau tahanan selepas diputuskan mahkamah.

“Bayangkan, bagaimana jumlah kakitangan yang sedikit ini hendak jaga semua banduan yang lebih ramai bilangannya. Jumlah kakitangan untuk jaga banduan tidak sampai 20 peratus berbanding jumlah penghuni penjara dan pusat pemulihan.

“Hari ini di 40 buah penjara direkodkan ada seramai 66,315 banduan diikuti di PPA (2,367), PPK (524) SHG (1,549) dan PPP (1,328) penghuni,” katanya di sini semalam.

Kata sumber berkenaan, kapasiti penjara dan pusat pemulihan di seluruh negara sepatutnya hanya menampung 53,830 tahanan bukan lebih 72,000 seperti sedang berlaku.

“Buat masa ini sebanyak 30 penjara daripada 40 buah memang berdepan masalah kesesakan.

“Jadi, langkah Jabatan Penjara mahu mewartakan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai pusat tahanan sementara adalah wajar bagi mengurangkan kesesakan dalam penjara selain dapat mengekang penularan Covid-19,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, jelas sumber itu, banyak perkara perlu diambil kira terutamanya dari segi kecukupan kakitangan sekiranya kem-kem itu dibenarkan dijadikan pusat tahanan sementara.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan dua buah penjara di Kedah iaitu Penjara Alor Setar dan Penjara Pokok Sena serta sebuah penjara d Tawau Sabah kini menjadi penyumbang besar kepada peningkatan kes Covid-19.

Covid-19 cepat merebak apabila penjara-penjara berkenaan dihuni lebih daripada kapasiti.

Laporan akhbar ini turut mendedahkan sebagai langkah segera kira-kira 3,000
daripada 11,018 banduan yang hukuman mereka kurang setahun dan baki hukuman kurang tiga bulan, disasarkan untuk diberi Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dalam satu kenyataan kelmarin berkata, jumlah jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara bertambah daripada 673 kes sebelum ini kepada 1,126 kes.

Sementara itu, di Kuantan, Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab. Basir Mohamad berkata, dua penjara di negeri tersebut turut mengalami masalah lebihan kapasiti banduan.

“Penjara Penor di Pekan menempatkan kira-kira 2,000 banduan berbanding kapasiti sebenar 1,500 manakala Penjara Bentong 3,200 banduan berbanding kapasiti sebenar 3,000 orang,” kata beliau

Menurut beliau, bagi mengurangkan masalah kepadatan dan risiko jangkitan Covid-19, pihaknya melakukan pemindahan banduan dari Penjara Penot ke Penjara Bentong yang kurang sesak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya