PUTRAJAYA: Bekalan vaksin dijangka mula diperoleh pada suku pertama tahun depan dengan keutamaan diberikan kepada para petugas barisan hadapan.
Ia meliputi mereka yang berada dalam sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.
Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan memaklumkan, setakat ini kerajaan telah berhubung dengan lapan calon vaksin yang kini berada di peringkat ujian klinikal fasa tiga.
“Kerajaan juga sedang memuktamadkan rundingan dengan Vaccine Global Access (Covax) yang mempunyai sembilan calon vaksin di bawah Global Alliance for Vaccine and Immunisation (GAVI).
“Kerajaan akan menyediakan peruntukan kewangan bagi tujuan pembelian vaksin melalui Tabung Covid-19 Kementerian Kewangan,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, kerajaan komited mendapatkan keputusan segera perolehan vaksin Covid-19 bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam mendapatkan bekalan yang diluluskan dan terbukti selamat kelak.
Semalam, mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) diadakan antara kedua-dua kementerian itu yang dipengerusikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Katanya, mesyuarat berkenaan untuk memastikan bekalan vaksin Covid-19 kepada negara diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna bagi melindungi rakyat Malaysia daripada pandemik itu seterusnya membantu merancakkan kembali ekonomi negara.
Jelas kenyataan itu, kedua-dua kementerian tersebut bertindak sebagai jawatan kuasa induk dalam merancang, melaksana dan memantau keseluruhan strategi pembekalan vaksin Covid-19 sehingga pelaksanaan program imunisasi dijalankan.
Dalam mesyuarat tersebut, katanya, beberapa jawatan kuasa kecil dibentuk merentasi pelbagai kementerian dan agensi bagi melaksanakan tugas dalam pemilihan, pendaftaran, kelulusan, pengimportan, penstoran, logistik, pengangkutan, pengagihan serta pemberian vaksin.
Empat jawatan kuasa kecil tersebut ialah Polisi Vaksinasi Kebangsaan dan Pemilihan Calon Vaksin Yang Sesuai, Pendaftaran, Logistik dan Pembangunan Vaksin, Kewangan dan Perolehan serta Komunikasi. – UTUSAN ONLINE