SHAH ALAM: Urusan pernikahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan Mukim Klang hanya dilakukan di masjid.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, di negeri ini, akad nikah masih ditetapkan di masjid sahaja.
Katanya, apabila aktiviti di masjid ditangguhkan susulan PKPB, maka urusan pernikahan dilakukan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
“Sehingga semalam, seramai 118 pasangan pengantin dari kawasan terlibat dinikahkan. Semua pengantin terbabit menjalani proses akad nikah di PAID Klang bermula 9 pagi semalam hingga 12 tengah malam tadi.
“Proses nikah ini tidak mengambil masa panjang dan hanya khutbah nikah pendek dibacakan. Bagi proses nikah ini, kita menyediakan lima juru nikah bagi memastikan kelancaran majlis.
“Pada hari ini juga ada pasangan dinikahkan dan proses ini berlangsung hari seterusnya namun kita jangka jumlah menurun berbanding semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas Mohd. Shahzihan, semua pasangan yang sepatutnya bernikah dalam tempoh dua minggu sepanjang pelaksanaan PKPB telah dimaklumkan mengenai proses itu.
“PAID diminta bersedia berdepan dengan situasi ini selepas kerajaan memutuskan PKPB di Klang. Kita menjangkakan ramai pasangan datang bernikah,” katanya.
Semalam, tular dalam laman sosial gambar milik seorang jurufoto perkahwinan, Sheik Ameer Haziq mengenai kehadiran ramai pasangan pengantin di PAID Klang.
Perintah PKPB bermula hari ini hingga 23 Oktober melibatkan 36 kawasan di Mukim Klang dilaksanakan susulan peningkatan kes Covid-19.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati pasangan pengantin yang bakal melangsungkan kenduri pada Sabtu ini reda perlu membatalkannya berikutan pelaksanaan PKPB. – UTUSAN ONLINE