ALOR SETAR: Seekor ular sawa sepanjang lima meter dan seberat 60 kilogram yang kekenyangan selepas menelan dua ekor itik ditangkap di sebuah reban milik penduduk di kuarters Jabatan Hutan, Pokok Sena di sini hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd. Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.49 pagi.
“Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditugaskan ke lokasi untuk menangkap reptilia tersebut,” katanya di sini hari ini
Menurut Mohd. Shukri, sebaik sahaja tiba di lokasi, anggota mendapati ular sawa tersebut dalam keadaan kekenyangan setelah menelan dua ekor itik.
Katanya, ular itu bagaimanapun masih mampu bertindak agresif ketika anggota cuba menangkapnya.
“Anggota mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap reptilia berkenaan. Ia dibawa ke pejabat APM Padang Terap untuk tindakan lanjut,” katanya.
Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan kehadiran reptilia itu di kawasan kediaman masing-masing berikutan keadaan cuaca tidak menentu pada masa ini.
“Penduduk juga tidak digalakkan untuk memukul atau menangkap spesies ular ini sesuka hati kerana ia mengancam keselamatan diri.
“Terus hubungi pasukan penyelamat yang lebih terlatih dan mempunyai peralatan untuk menangkap reptilia itu,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE