SUNGAI PETANI: Seorang tukang masak ditemukan mati di dalam kereta dalam keadaan enjin dimatikan di kawasan luar pagar rumahnya di Taman Sungai Lalang, Bedong dekat sini semalam.
Mangsa, Lim Tian Poh, 52, ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring dengan mengiring ke kanan di tempat duduk penumpang hadapan kereta Proton Wira miliknya kira-kira pukul 4 petang.
Difahamkan, kejadian tersebut disedari jiran mangsa yang kemudian melaporkannya kepada pihak hospital dan polis.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.15 petang.
Katanya, anak mangsa memaklumkan bahawa bapanya keluar dari rumah kira-kira pukul 10.30 malam pada Isnin lalu untuk minum bersama rakannya.
“Mangsa dikatakan mabuk dan salah seorang rakan menghantarnya pulang ke rumah. Bagaimanapun mangsa tidak masuk ke dalam rumah, sebaliknya hanya tidur di dalam kereta,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, anak mangsa yang keluar rumah pada pukul 7.30 pagi kelmarin melihat bapanya itu tidur di dalam kereta lalu mengejutkannya.
“Mangsa pada ketika itu masih hidup dan memberitahu anaknya bahawa dia mahu berehat di dalam kereta sebelum anaknya terus ke tempat kerjanya di Sungai Petani,” ujarnya.
Menurutnya, anak mangsa juga memaklumkan bahawa bapanya itu mempunyai rekod rawatan perubatan, namun tidak pasti tentang penyakitnya.
“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE