Tiga penjenayah larikan RM1.6 juta diberkas - Utusan Malaysia

Tiga penjenayah larikan RM1.6 juta diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan tiga penjenayah melarikan wang tunai berjumlah RM1.6 juta di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Kepong, di sini pada 8 Oktober lalu mengundang pada apabila kesemua mereka diberkas.

Kesemua suspek berusia 31 tahun hingga 42 tahun itu ditahan di lokasi berasingan di ibu kota pada 16 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pada mulanya, polis menerima laporan dibuat pekerja syarikat pengurusan mata wang krypto berhubung kejadian itu.

Dalam kejadian itu, kata beliau, mangsa dikatakan membawa wang tunai RM1.6 juta diletakkan di dalam beg plastik berwarna hitam sebelum diserang dua lelaki yang bertindak menumbuk perut dan menyembur matanya lalu merampas bungkusan plastik terbabit.

“Dua penjenayah berkenaan melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.

Saiful Azly berkata, hasil soal siasat menemukan wang tunai berjumlah RM1.03 juta, beberapa ketulan emas, barang kemas, telefon bimbit dan sebuah kereta Perodua Myvi.

“Menurut keterangan suspek, dia membuat pembayaran penuh bagi pinjaman kereta Perodua Myvi miliknya menggunakan wang berkenaan.

“Mereka dikatakan mengikut setiap pergerakan mangsa selama tiga hingga lima hari termasuk laluan yang dilaluinya setiap hari. Semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah,” ujarnya.

Tambahnya, mereka direman sehingga 22 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Saya menasihatkan mana-mana pihak yang berurusan dengan wang tunai supaya tidak menggunakan laluan sama serta mengupah pengawal keselamatan bagi mengelak mereka menjadi mangsa samun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN