KLANG: Tiga jalan ditutup dan dua sekatan jalan raya dilakukan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mukim Klang berkuat kuasa hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, dua sekatan melibatkan Jalan Bukit Kuda berdekatan kedai Emy Cookies & Food dan persimpangan Lorong Lintang Raksa 2.
Menurut beliau, penutupan jalan pula melibatkan Lorong Perak, Jalan Raksa 3 (hadapan Jihas Bakery) dan Jalan Raksa 4.
“Orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke Lorong Lintang Raksa 2, Jalan Raksa 3 dan Pangsapuri Bukit Kuda perlu mendapatkan surat kebenaran.
“Kita telah menyediakan balai polis bergerak dan khemah untuk urusan tersebut.
“Tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang Utara setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Tindakan kompaun akan dikenakan ke atas mereka yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau aduan boleh menghubungi Bilik Gerakan Op Covid-19 di talian 03-32913344.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin memaklumkan akan menjalankan tujuh sekatan sepanjang pelaksanaan PKPB di jalan keluar masuk melibatkan daerah berkenaan.
Tiga ibu pejabat polis daerah terlibat dalam sekatan ialah IPD Klang Utara, IPD Klang Selatan dan IPD Shah Alam. – UTUSAN