Tiga ditahan POCA, polis buru Alvin - Utusan Malaysia

Tiga ditahan POCA, polis buru Alvin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menahan tiga suspek kerana terlibat dalam penganjuran judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Kesemua suspek ditahan reman selama tiga minggu sehingga 3 November ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tangkapan dibuat selepas mereka dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dalam aktiviti Macau Scam, baru-baru ini.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat dalam membantu pihak berkuasa melumpuhkan kegiatan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Huzir memberitahu, pihaknya kini sedang memburu seorang lagi suspek yang terlibat tiga kes di bawah Seksyen 4 (1) (C) Akta Judi Rumah Terbuka 1953 dengan menganjurkan judi dalam talian di sekitar ibu negara dan Selangor.

Katanya, suspek Goh Leong Yeong atau dikenali Alvin berusia 32 tahun dan beralamat terakhir di Blok 25B2-5-8, Miharja Kondominium, Bt 2 1/2 Off Jalan Cheras dekat sini.

“Suspek melarikan diri sebaik sahaja dibebaskan dengan jaminan oleh SPRM kerana terlibat Macau Scam baru-baru ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Deputi Superintenden Ahmad Zamri Jai di talian 012-8993622 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Faizal Asuar di 017-3126411 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Kerjasama daripada semua pihak amat dihargai bagi membantu siasatan polis,”ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN