Tiga cadangan cuti perkasa pelancongan domestik - Utusan Malaysia

Tiga cadangan cuti perkasa pelancongan domestik

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tiga cadangan cuti boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha merancakkan kembali sektor pelancongan negara yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasan Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, cadangan berkenaan ialah mewujudkan empat giliran waktu kerja, mengubah sistem cuti pada hujung minggu dan waktu cuti sekolah tidak serentak.

Beliau berkata, bagi empat giliran waktu kerja, terdapat empat kumpulan yang bekerja dan dalam satu minggu yang mana satu kumpulan boleh mengambil cuti pada Jumaat jika mereka bercuti Sabtu dan Ahad dan bagi yang bercuti Jumaat dan Sabtu, mereka boleh mengambil cuti Ahad.

“Ini boleh dilakukan bergilir setiap minggu bagi kumpulan kerja yang berbeza, dengan cara ini setiap kumpulan kerja dapat bercuti tiga hari untuk melancong ke destinasi menarik dalam negara.

“Jika setiap minggu ada rakyat yang bercuti pastinya merancakkan sektor pelancongan domestik sekali gus membantu pengusaha rumah rehat dan hotel meneruskan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sharkar berkata, bagi cadangan kedua pula, jika dapat dilaksanakan, aktiviti pelancongan domestik tidak hanya tertumpu pada hari minggu malah hari lain iaitu Isnin hingga Khamis bagi memberi peluang kepada mereka tidak bekerja boleh bercuti bersama keluarga.

Menurutnya, negara mempunyai kira-kira 15 juta pekerja dan beliau memberikan contoh jika 500,000 orang bercuti setiap hari, ia dapat merancakkan sektor pelancongan domestik sekali gus majukan pelancongan negara secara keseluruhannya.

Selain itu, cadangan ketiga pula katanya, musim cuti persekolahan perlu diubah supaya semua sekolah tidak bercuti serentak.

“Sebagai contoh, setiap kali musim cuti sekolah hanya tiga atau empat negeri yang bercuti. Ini penting bagi memastikan tidak berlaku limpahan pelancong yang menyebabkan kesesakan kerana bercuti pada masa sama,” katanya.

Beliau menjelaskan, pemulihan ekonomi mengambil masa yang panjang malah ada pihak yang berpendapat sektor pelancongan mungkin mengambil masa sehingga dua ke tiga tahun untuk kembali ke tahap normal selepas Covid-19 berakhir.

“Dalam keadaan seluruh dunia sedang berdepan penularan pandemik ini, sudah tentu pelancongan antarabangsa tidak dapat beroperasi.

“Bagi memastikan sektor pelancongan negara tidak lumpuh, usaha memperkasa pelancongan domestik perlu segera dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya