Tidak cukup bukti dakwa Khairuddin - Utusan Malaysia

Tidak cukup bukti dakwa Khairuddin

KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berhubung pelanggaran perintah kuarantin.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, keputusan itu dibuat memandangkan tiada keterangan kukuh bagi meme­nuhi beban bukti yang diperlukan di bawah undang-undang.

Beliau menjelaskan, pihak­nya membuat penelitian terhadap kertas siasatan polis di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] berhubung aduan pelanggaran perintah kuarantin menteri berkenaan.

“Penelitian terhadap kertas siasatan itu menunjukkan bahawa Khairuddin berlepas ke Turki pada 3 Julai lalu dan kembali ke Malaysia pada 7 Julai.

“Sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau menjalani pemeriksaan kesihatan untuk saringan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif,” katanya semalam.

Menurut Idrus, Khairuddin dibenarkan pulang ke kediamannya oleh pegawai daripada Kementerian Kesihatan selaku pegawai diberi kuasa yang dilantik di bawah seksyen 3 Akta 342.

“Kemudian, menteri itu menjalani ujian saringan kali kedua pada 10 Julai di Hospital Kuala Lumpur sebelum menghadiri majlis di Istana Negara pada 17 Ogos dan keputusan saringan kali kedua juga adalah negatif,” katanya.

Tambah beliau, polis turut menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan menteri tersebut yang dikatakan gagal menjalani perintah kuarantin di rumah yang sepatutnya bermula 7 Julai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.

Katanya, kertas siasatan lengkap dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

Beliau menjelaskan, hasil kajian dan penelitian terhadap segala keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan itu mendapati, pegawai diberi kuasa menggunakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan sebarang perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah bagi mengarahkan menteri itu berbuat demikian di bawah Subseksyen 15(1) Akta 342.

“Borang 14b seperti yang diperuntukkan dalam Garis Panduan Kementerian Kesihatan yang mengandungi perintah pemerhatian atau pengawasan selaras dengan Subseksyen 15(1) Akta 342 tidak pernah diserahkan kepada menteri sebelum beliau dibenarkan pulang ke rumah.

“Bagi menjadikan perbuatan melanggar perintah kuarantin di rumah sebagai suatu kesalahan di bawah Akta 342, perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah mestilah diserahkan kepada menteri terlebih dahulu sebagaimana kehendak di bawah subseksyen 15(1) Akta 342,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya