PORT DICKSON: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan memaklumkan tiada kapal dikesan sengaja membuang minyak di perairan Tanjung Tuan lebih kurang 1.3 batu nautika menghala ke Pulau Perjudi di sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kesan minyak itu ditemui ketika bot peronda Maritim Malaysia melakukan rondaan kira-kira pukul 11 pagi semalam.
“Tumpahan minyak dikesan sehingga ke pantai Tanjung Tuan serta Teluk Kemang. Bagaimanapun, pemantauan dan rondaan di sekitar lokasi kejadian, tiada kelihatan kapal melakukan kerja- kerja pembuangan minyak ke laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, maritim Melaka dan Negeri Sembilan telah memaklumkan insiden berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri masing-masing dan Balai Bomba Telok Kemang.
Pihak berkuasa tersebut telahmengambil sampel tumpahan minyak serta melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Pihak Maritim Malaysia belum dapat mengesahkan kapal yang bertanggungjawab kerana dimaklumkan tiada kapal berada di kawasan berkenaan yang boleh dikaitkan dengan tumpahan minyak itu.
“Sekiranya pihak terbabit didapati bersalah, mereka boleh di sabit kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali,” katanya. – UTUSAN