Tetamu hari jadi dikompaun tak patuh SOP PKPP - Utusan Malaysia

Tetamu hari jadi dikompaun tak patuh SOP PKPP

LOKASI majlis sambutan ulang tahun kelahiran di sebuah inap desa di Batu Ferringhi, Georgetown, Pulau Pinang yang menyaksikan 42 individu dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi SOP PKPP, malam tadi. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 42 individu yang meraikan sambutan ulang tahun kelahiran di sebuah inap desa di Batu Ferringhi, di sini dikenakan kompaun selepas tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) malam tadi.

Mereka yang terdiri daripada 34 lelaki dan lapan wanita tempatan berusia lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun itu diperiksa dalam Op Pemantauan dan Pematuhan SOP PKPP Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).

Dalam operasi tersebut, polis turut menemukan paket dadah jenis ketamin seberat 1.40 gram di dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati 17 daripada mereka mempunyai rekod dadah dan jenayah lampau.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati empat penghuni inap desa berkenaan positif dadah methamphetamine iaitu tiga lelaki dan seorang wanita.

“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut mengeluarkan kompaun ke atas pemilik rumah itu kerana menjalankan perniagaan inap desa tanpa lesen,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, polis membuat tangkapan ke atas seorang pengusaha pusat hiburan yang beroperasi di dalam sebuah pasar raya di Jalan Dr Lim Chwee Leong, di sini.

Tangkapan dilakukan selepas didapati suspek menjalankan aktiviti terlarang dalam tempoh PKPP selain tiada lesen hiburan awam yang sah dikeluarkan MBPP.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN