SAUDARA PENGARANG,
SAYA terkejut apabila membaca artikel tulisan pakar sejarah, Profesor Dr. Ramlah Adam dalam Utusan Malaysia pada 9 Oktober lalu yang mendedahkan terdapat bab khusus tentang perjuangan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4.
Memanglah gerombolan itu digambarkan dalam buku berkenaan sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan, tetapi dengan memaparkan secara terperinci tentang perjuangan PKM, ia seolah-olah satu usaha halus untuk mengagungkan perjuangan mereka.
Tidakkah dengan pendedahan yang meluas, pelajar akan terfikir bahawa gerombolan durjana itu sangat cekap, terlatih dan berani sekali ketika zaman darurat selama 12 tahun dari 1948 hingga 1960?
Siri serangan PKM yang dimuatkan pada muka surat 151 dianggap maklumat penting dan pasti memerlukan pelajar mengingatnya. Pada masa sama, kejayaan pasukan keselamatan dalam siri pertempuran di pelbagai lokasi, tidak pula dianggap penting.
Sepatutnya, tumpuan dalam buku teks berkenaan bukanlah mengenai perjuangan PKM, tetapi lebih terarah kepada langkah memerangi pengganas komunis dengan mengisytiharkan darurat, penambahan tentera, polis, mewujudkan pasukan Home Guard dan penyebaran risalah menawarkan pengampunan.
Rundingan Baling 1955 yang mendedahkan sikap angkuh PKM yang enggan menyerah diri dan mahu pergerakan mereka dihalalkan di Tanah Melayu sepatutnya ditekankan.
Saya berpendapat, buku teks berkenaan perlu disemak semula bagi memperbaiki segala kecacatan yang wujud. Kita tidak mahu generasi muda disogokkan dengan fakta-fakta kehebatan PKM.
MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor