IPOH: Pendakwah popular, Ebit Lew patut diberi peluang membantu pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang mahu pulang ke kampung susulan keputusan saat akhir penangguhan pendaftaran secara fizikal dan bersemuka institusi pengajian tinggi (IPT).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria berkata, ramai penuntut akan mendapat manfaat daripada 20 bas ditawarkan pendakwah itu untuk membawa mereka pulang ke kampung masing-masing.
Menurut beliau, jika ada inisiatif daripada invidivu atau mana-mana pihak lain untuk membantu, perkara itu sepatutnya dipermudahkan.
“Kalau orang nak menolong, kita buka tangan sebab kita tak mampu menolong semua dan mereka memerlukan bantuan segera.
“Cuma peraturan SOP (prosedur operasi standard) kena ikut, lebih baik berhubung dengan pihak berwajib supaya tak timbul isu-isu sensitif.
“Kalau nak bawa penuntut UPSI, berjumpalah dengan pentabdir universiti itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Razman, pihaknya akan berjumpa dengan pengurusan UPSI bagi menyelesaikan isu tersebut.
Kelmarin, Ebit memohon maaf kepada UPSI kerana menawarkan bantuan menyediakan 20 bas bagi membantu penuntut pulang ke kampung.
Bagaimanapun, Ebit kemudian terpaksa menangguhkan bantuan tersebut sehingga diberi kebenaran universiti.
Razman berkata, bantuan sekali bayar RM150 kepada penuntut dari Perak akan diberikan kepada mereka yang terkandas susulan keputusan saat akhir penangguhan pengajian.
Menurutnya, bantuan itu akan disalurkan selepas mendapat kelulusan mesyuarat Exco kerajaan negeri Rabu ini. – UTUSAN