Tak sempat lepas rindu kepada cucu - Utusan Malaysia

Tak sempat lepas rindu kepada cucu

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kampung Klah Baru, Sungkai, Tapah, semalam. - GAMBAR IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan meragut tiga nyawa di Kilo­meter 88, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Klah Baru di Sungkai, dekat sini semalam pernah meluahkan perasaan rindu kepada cucu-cucunya yang tinggal di Lembah Klang.

Dalam kemalangan tersebut, Mohamed Tahir Junus, 64, dan isterinya, Nor Aini Mohd. Sam, 56, dari Rumah Awam di Jalan Ketoyong, Tanjung Malim yang memandu kereta jenis Proton Saga, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa kemalangan, Muhammad Ridhwan Ismail, 22, yang memandu kereta jenis Perodua MyVi dari Kampung Padang Tembak, Teluk Intan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Slim River.

Anak Mohamed Tahir, Azrul Azizul Mukminin, 30, berkata, kerinduan kepada cucu diluahkan bapanya itu semasa ke rumahnya di Air Kuning, di sini Jumaat lalu sebelum pulang ke Tanjung Malim semalam.

Katanya, sepanjang berada di rumahnya, bapanya kerap meluahkan perasaan rindu kepada cucunya yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor.

Kata Azrul Azizul Mukminin, bapanya tidak dapat menjenguk cucunya ketika ini memandang­kan Lembah Klang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat Covid-19.

“Kebiasaannya hujung ming­gu ayah dan emak ke rumah anak-anak, sama ada ke rumah saya atau ke rumah kakak di Lembah Klang.

“Disebabkan PKPB, ayah ke rumah saya dan dia menyatakan perasaan rindu kepada cucu-cucunya kerana tidak dapat ke Lembah Klang melawat mereka.

“Saya tidak sangka rasa rindu pada cucunya itu tidak dapat ditunaikan apabila terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Slim River, di sini semalam.

Jenazah pasangan suami isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cabang Lima, Jalan Ketoyong, Tanjung Malim semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa Muhammad Ridhwan dalam perjalanan dari Subang Jaya, Selangor menghala ke Teluk Intan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya