PUTRAJAYA: UMNO dan Pas tidak perlu membuang masa untuk membincangkan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Setiausaha Agong UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, banyak lagi isu lebih penting untuk dibincangkan oleh kedua-dua parti itu dalam aspek mengukuhkan kerjasama Muafakat Nasional (MN).
Katanya, gabungan muafakat itu juga sering mengadakan mesyuarat selama dua minggu sekali bagi membincangkan segala isu yang berkaitan dengan kepentingan dan perpaduan parti Melayu dan Islam.
“Antara UMNO dan Pas kita tidak pernah bincangkan perkara itu, malah, di peringkat tertinggi parti kita tidak tahu menahu tentang perkara itu. Saya sudah bertanya kepada kawan-kawan lain (UMNO) berdasarkan senarai nama (tular) dan semuanya menafikan perkara itu. Jadi, saya masih kehairanan dengan dakwaan itu.
“Saya ada bercakap dengan Presiden parti, mungkin secara individu ada (menyertai Anwar) bukan di peringkat parti kerana kita tiada hasrat hendak membincangkan isu itu,” katanya dalam sidang akhbar mengenai pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu di sini hari ini.
Anwar dalam sidang akhbar tergempar di sebuah hotel di ibu negara minggu lalu memberitahu, beliau mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan bagi membentuk kerajaan namun tidak memberitahu jumlah terperinci mengenai sokongan yang diperoleh.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendakwa beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah namun terpaksa ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Spekulasi bertambah tegang apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau maklum berkenaan ada beberapa ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar namun tidak dapat menghalangnya.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, pemikiran politik keterlaluan perlu dielakkan kerana memberi kesan bahaya kepada pertumbuhan ekonomi dan minat pelabur asing ke negara ini.
“Apa yang penting kita perlu berkhidmat kepada rakyat, kekal fokus membanteras ancaman pandemik Covid-19 serta menumpukan kepada perkembangan ekonomi kerana ramai yang terjejas sumber pendapatan akibat hilang pekerjaan,” katanya. -UTUSAN