Sukar pertimbang cadangan keluar KWSP - Utusan Malaysia

Sukar pertimbang cadangan keluar KWSP

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan Sijil Rakan Niaga Koperasi kepada salah seorang wakil koperasi sambil diperhatikan oleh Pengerusi Koperasi Sungai Terap, Dr Kamarudin Md Tahir (kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Koperasi Sungai Terap, di SMK Bukit Pasir Muar,. Johor, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sukar untuk kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri berkata, beliau sedar jika simpanan untuk hari tua itu dibenarkan dikeluarkan, ia memberi masalah lebih besar pada masa depan.

“Saya hendak beritahu sukar kita pertimbangkan perkara itu, bukan sebab kita tidak mahu sedangkan tanpanya kita telah menyediakan bantuan berbililon-bilion ringgit. Yang terakhir tujuh bilion ringgit digunakan untuk membantu rakyat.

“Yang ada simpanan itu untuk simpanan masa hari tua, banyak orang hantar teks itu, teks ini (mesej) kepada saya, ‘Tan Sri tolonglah kami susah’.

“Tetapi saya sedar, jika kita membenarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan EPF (KWSP) yang masih berbaki tidak tahu tinggal beberapa puluh ribu ringgit, ia mendatangkan masalah lebih besar lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Koperasi Sungai Terap di Dewan Seri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, di sini hari ini

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini meminta kerajaan mempertimbang pencarum KWSP dibenarkan membuat pengeluaran sehingga RM10,000 secara ‘one-off’ dari Akaun 1 masing-masing.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberi bayangan kerajaan akan menumpukan usaha memerangi habis-habisan pandemik Covid-19 dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November ini.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, pihaknya akan mengambil langkah-langkah tambahan sewajarnya dalam belanjawan tahunan itu bagi memulihkan kembali kehidupan rakyat di Dewan Negara.

“Kita kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang prihatin akan mengambil langkah-langkah tambahan. Sebelum ini sebanyak RM305 bilion dan Belanjawan 2021 akan memberi tumpuan dalam usaha mengawal pandemik Covid-19 supaya ia tidak menular.

“Hampir RM2 bilion kita belanjakan untuk Kementerian Kesihatan manakala untuk Sabah sahaja, dengan Covid-19 yang begitu hebat, kira-kira RM400 juta dibelanjakan dalam tempoh beberapa minggu lepas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN