Suami isteri bersama enam anak tinggal sehelai sepinggang - Utusan Malaysia

Suami isteri bersama enam anak tinggal sehelai sepinggang

RUMAH keluarga Ruslan Abdullah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Palas, Cherating, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sepasang suami isteri bersama enam anaknya tinggal sehelai sepinggang setelah rumah diduduki mereka lebih 23 tahun di Kampung Bukit Palas, Cherating, di sini musnah dalam kebakaran, semalam.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, Ruslan Abdullah, 52, dan isterinya, Aidassuriani Zahid, 40, bernasib baik apabila semua ahli keluarga mereka terselamat.

Aidassuriani berkata, ketika mendapat berita tentang kejadian tersebut, dia dan suami tiada di rumah kerana masing-masing bekerja.

“Ketika kejadian, saya sedang bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarewan Malaysia (Rela) di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dan suami sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Baging.. Memang terkejut dan tidak menyangka kejadian ini menimpa kami sekeluarga.

“Setelah dihubungi jiran, saya bergegas pulang tetapi kemusnahan sudah hampir 80 peratus. Dalam tempoh 20 minit saya hanya mampu lihat dinding batu di dapur yang tidak musnah dimamah api,” katanya di sini hari ini.

Aidassuriani berkata, menurut anak ketiganya, Siti Nurfatihah, 18, ketika kejadian dia bersama dua lagi adiknya melihat dinding di bahagian bilik terbakar dan asap mula memenuhi ruang dapur.

Katanya, Siti Nurfatihah segera menyelamatkan adik-adiknya yang sedang tidur.

Menurutnya, dia dimaklumkan kebakaran bermula di bahagian bilik dan api cepat merebak memandangkan rumah yang berusia 50 tahun itu mempunyai banyak struktur kayu dan papan.

“Saya sedih melihat rumah yang ditinggalkan sempurna sebelum keluar bekerja tetapi dalam masa beberapa jam musnah, namun reda dengan kejadian yang menimpa.

“Paling penting kebakaran ini tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa, saya anggap ini dugaan dan musibah, kita akan teruskan hidup dan cuba untuk membina kembali rumah di sini juga sikit demi sedikit mengikut kemampuan yang ada dan sumber kewangan yang diperoleh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya